Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 29 tahun didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram secara dalam talian pada Rabu.
Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu kepada Eddie Ericson Inson selepas dia mengaku berjudi dalam talian menggunakan telefon bimbit pada 9.22 malam 23 Sept, di sebuah premis di Jalan Sireh, Tanjung Aru.
Eddie didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Eddie, yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan kerana ibu bapanya tidak bekerja, dan dia mempunyai dua adik yang masih bersekolah.
Menurut pegawai pendakwa Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, semasa operasi Op Dadu di lokasi tersebut, polis mendapati terdapat perjudian dipercayai perjudian dalam talian tambah nilai yang dijalankan oleh Eddie.
Suzie berkata, polis memeriksa telefon bimbit itu dan mendapati ia digunakan untuk tujuan tersebut. Polis merampas telefon bimbit itu dan menangkap Eddie pada malam itu juga, kata Suzie.
Mahkamah memerintahkan wang dirampas dilucuthakkan oleh kerajaan sebagai hasil.
Di mahkamah sama, seorang lelaki berusia 50 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 bulan kerana mengambil dadah.
Cyril Golokin mengaku bersalah kepada tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Cyril menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 1 Jun.
Cyril didapati positif dadah jenis syabu pada jam 11.10 malam di Penampang.
Peguam dilantik, Carmen Khoo memohon hukuman ringan kerana Cyril merupakan pekerja sub-kontraktor dan perlu menjaga ibunya yang berusia 90 tahun.
Carmen juga berkata Cyril mempunyai tiga sabitan sebelum ini iaitu pada 2016, 2018 dan 2019.
Mahkamah turut memerintahkan Cyril menjalani pengawasan polis untuk tempoh dua tahun selepas hukuman penjaranya selesai.