KERAJAAN Negeri mewajibkan agensi berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta pelabur asing datang ke negeri ini untuk mengutamakan golongan miskin dalam senarai e-Kasih bagi penempatan pekerjaan perkeranian dan peringkat bawahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM175 juta sebagai sokongan kepada agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelabur untuk melaksanakan pendekatan ini.
Beliau berkata peruntukan ini adalah sebahagian daripada RM300 juta yang disediakan Kerajaan Negeri dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah tahun ini.
Beliau menambah, pendekatan ini adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Sabah dibantu agar mereka menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
“Kami bersetuju untuk membantu golongan termiskin dalam senarai e-Kasih kerana kami mahu mengurangkan bilangan mereka yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300 juta khusus untuk golongan miskin tegar ini. Daripada RM300 juta ini, kita sedang membina 1,300 rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) melibatkan peruntukan RM125 juta.
“Baki RM175 juta akan digunakan untuk membantu belia miskin tegar mendapatkan pekerjaan di agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di Sabah.
“Kami memutuskan untuk mewajibkan pengambilan jawatan perkeranian dan peringkat bawahan daripada kumpulan miskin tegar ini,” kata Hajiji ketika melancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut di Tongod pada 23 Sept.
Ketua Menteri berkata kerjasama dan sokongan semua pihak perlu bagi menangani isu kemiskinan di Sabah dan memastikan negeri itu dikeluarkan daripada senarai negeri termiskin.
“Jika kita boleh bersatu dan bekerjasama, saya percaya Sabah, yang kini berada di tangga terbawah dalam senarai, dalam tempoh tiga hingga lima tahun, akan berada di tempat ketiga atau keempat di seluruh negara,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinannya membuktikan keupayaannya untuk membawa perubahan di negeri ini berdasarkan peningkatan nilai perdagangan yang mencecah RM118.1 bilion tahun lepas berbanding kira-kira RM87. 2 bilion pada tahun sebelumnya.
Sabah kini disenaraikan sebagai negeri dengan jumlah penduduk miskin tertinggi, dengan tiga daerahnya – Tongod, Pitas, dan Kota Marudu – dikenal pasti sebagai daerah termiskin di negara ini.