Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada kakaknya, akan dibicarakan pada 18 hingga 19 Mac 2024.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi Mohamad Firdaus Arbi apabila kesnya dikemukakan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Firdaus didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Jumat Arbi, 51, dengan sebilah pisau pada 6.30 petang 8 Mac 2022 di sebuah rumah di Kg Pasir Putih, Putatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lelaki dipenjara lima tahun kerana mengambil syabu berulang kali.
Pang Tsin Wu mengaku bersalah mengambil dadah itu pada 24 Julai tahun ini selepas air kencingnya didapati positif dadah di balai polis di sini.
Dia mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah.
Tiada sebatan dikenakan ke atas Pang kerana usianya yang melebihi 50 tahun.
Mahkamah memerintahkan Pang menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Selepas hukuman penjaranya tamat, Pang diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.