SANDAKAN: Pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Sandakan menafikan dakwaan terdapatnya beras plastik dijual di daerah ini.
Ketua Cawangan KPB Sandakan, Mohd Saiful Nizam Adnan berkata, pihaknya telah menerima video yang tular tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
“Saya baru dapat tahu tentang video tersebut semalam. Saya tengah kumpul maklumat untuk mencari yang terlibat berkaitan video itu.
“Ini adalah dakwaan palsu yang cuba menimbulkan kegusaran pada orang awam yg kebanyakan menggunakan beras tersebut,” jelasnya ketika dihubungi Daily Express.
Terdahulu, telah tular sebuah video yang dirakam di sebuah kedai di Kampung Sim-Sim, Sandakan mengenai beras putih import jenama Super WR yang dikatakan mengandungi beras plastik.