Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang menggelapkan secara tidak jujur sebuah kereta milik lelaki lain, dipenjara 20 bulan dan dikenakan satu sebatan.
Majistret Lovely Natasha Charles menjatuhkan hukuman itu kepada Isaac Nicholas yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Isaac telah menyalahgunakan kereta itu untuk kegunaan sendiri pada 9.45 malam pada 27 Jun tahun ini di Plaza Country Height di Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun, dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Isaac menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.
Semasa rayuan, peguam Luke Ressa Balang yang mewakili Isaac meminta hukuman ringan dengan mengatakan Isaac adalah pesalah kali pertama dan dia sudah menyesal.
Luke memberitahu mahkamah bahawa Isaac merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya, sudah berkahwin dan mempunyai empat anak.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kelvan Elson Maik menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Mahkamah mendengar bahawa Isaac telah berurusan dengan lelaki yang ingin membeli dan menukar enjin keretanya (lelaki itu) pada harga RM4,800.
Selepas membuat pembayaran sebanyak tiga kali, lelaki itu kemudian menghantar keretanya kepada Isaac untuk menukar enjin manual kepada enjin automatik dan Isaac telah berjanji ia akan siap selepas seminggu.
Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya dimaklumkan oleh seorang bernama Mohd Hairie bahawa Isaac telah menggadaikan kereta lelaki itu kepada Mohd Hairie. Susulan laporan polis, Isaac ditangkap selepas itu.