Kota Kinabalu: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat relevan dalam usaha Sabah untuk terus membangunkan sektor ekonominya yang disokong Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri berkata ia menyediakan graduan untuk menjadi tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Sabah yang mempunyai sumber asli, minyak dan gas, pertanian dan sektor pelaburan mahu memajukan sektor pembuatan selaras dengan usaha Kerajaan yang menggariskan pelbagai inisiatif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan berjaya membawa ramai pelabur asing membuka perniagaan pembuatan mereka di negeri ini, antaranya loji kerajang tembaga oleh SK Nexilis dan loji kaca solar, Kibing.
"Kerajaan Negeri telah menetapkan 80 peratus tenaga kerja bagi kilang-kilang ini adalah rakyat Sabah. Malangnya, kekosongan jawatan yang ditawarkan masih belum diisi sepenuhnya kerana tenaga kerja di Sabah masih kekurangan kemahiran diperlukan," katanya ketika merasmikan Simposium TVET Sabah 2023 di Magellan Sutera, Selasa.
Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata dengan menyelaraskan program TVET mengikut keperluan industri “kita dapat memastikan graduan kita bukan sahaja dapat mengisi kekosongan yang ditawarkan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan melalui pemupukan budaya inovasi”.
“Ibu bapa di Sabah juga perlu berfikiran terbuka dan tidak menganggap pendidikan TVET sebagai pilihan ketiga atau keempat, tetapi sedar bahawa TVET amat penting dalam era Revolusi Industri 4.0.
“Golongan belia perlu merebut peluang menceburi bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan disesuaikan mengikut keperluan pasaran buruh sekali gus menjamin pekerjaan,” tegasnya.
Hajiji berkata TVET bukan sekadar melengkapkan individu dengan kemahiran, kerana ia juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, selain berkait rapat dengan memupuk inovator, usahawan dan pekerja mahir yang memacu kemajuan Sabah pada abad ke-21.
Beliau berkata dalam era teknologi hari ini, pendigitalan dan Kepintaran Buatan (AI) merupakan sumber baharu yang boleh menggantikan manusia dalam melakukan tugasan dan amat penting untuk menyediakan anak muda Sabah untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dalam menghadapi cabaran masa depan.
Justeru, katanya, Simposium TVET Sabah 2023 yang bertemakan “Peranan TVET dalam memacu inovasi dan mengasah bakat di Sabah” jelas menunjukkan institusi TVET di Sabah merupakan barisan hadapan yang akan menerajui transformasi, di mana selain menjadi pusat pembelajaran, ia juga akan bertindak sebagai pusat inovasi dan pembangunan kemahiran.
Hajiji berkata kejayaan TVET bukan sahaja bergantung kepada institusi pendidikan sebaliknya merupakan usaha kolektif yang memerlukan komitmen kerajaan, industri dan masyarakat ekonomi.
Beliau berharap Persatuan TVET Sabah (PeTS) yang menyatukan hampir semua institusi TVET di Sabah, menjadi platform untuk berkongsi maklumat berkaitan TVET, selain membincangkan dasar berkaitan TVET yang boleh dibentangkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Sabah.