KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa peminat sastera untuk memanfaatkan keindahan dan kepelbagaian Sabah bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi.
Beliau berkata ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk sentiasa menyokong usaha mempromosikan seni dan budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di negeri ini.
“Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya dan adat resam. Negeri ini sahaja mempunyai 35 kumpulan etnik dan 217 kumpulan sub-etnik yang mempunyai lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
“Pejuang sastera dan budayawan seharusnya menggunakan sepenuhnya kelebihan itu untuk menghasilkan karya yang indah dan bermutu tinggi.
“Justeru, pemilihan Kota Kinabalu sebagai tuan rumah Hari Sastera ke-19 amat dialu-alukan.
“Acara ini diharap dapat mengangkat seni, sastera, bahasa dan budaya rakyat Sabah ke peringkat nasional dan global,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Sastera ke-19 di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, pada 30 Sept.
Hajiji berkata, buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel misalnya merupakan bahan sastera yang mempunyai pengaruh besar kepada masyarakat lebih-lebih lagi jika pengarangnya adalah seorang penulis terbilang.
Beliau berharap lebih ramai lagi penulis yang berjaya mencipta nama dan berada di kedudukan antara penulis dan penyair terbilang seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim dan Abdul Karim Gullam.
Hajiji berkata karyawan dan penggiat seni di Sabah turut disokong oleh tujuh keutamaan Lembaga Kebudayaan Sabah yang dikenal pasti dalam pembangunan budaya pelbagai etnik Sabah.
Ini termasuk pendigitalan seni budaya atau eBudaya, pelancongan budaya bersepadu, pemuliharaan budaya, pengukuhan hubungan etnik, penyelidikan dan dokumentasi budaya, pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek.
“Saya yakin aktiviti bahasa dan sastera di Sabah akan terus bersinar kerana kita mempunyai badan yang giat memperjuangkan bahasa dan sastera,” katanya.