Kota Kinabalu: Penjadualan semula penerbangan yang kerap menjejaskan pelan perjalanan dan aturan kerja penumpang dengan ketara, kata Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta).
Pengerusinya, Dato’ Seri Winston Liaw menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya proaktif dalam memperbaiki keadaan. Pada suku kedua 2023, Liaw berkata AirAsia mula membatal dan menjadualkan semula penerbangan untuk sektor domestik.
“Sekarang, apabila kita melangkah ke suku terakhir 2023, isu ini telah meluas ke sektor antarabangsa, terutamanya penerbangan ke China, yang memberi kesan teruk kepada penumpang dan pengendali pelancongan,” katanya.
Banyak kumpulan yang telah membeli tiket terpaksa menukar penerbangan sambungan mereka untuk menampung perubahan yang dijadualkan semula ini, tambahnya.
Advertisement





