KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.
“Tuduhan itu berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan nama saya. Pejabat saya akan memberikan kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Okt.
Hajiji berkata semua permohonan adalah mengikut prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.
“Permohonan untuk tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd, dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya menjawab dakwaan dalam media sosial itu.
Siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit yang telah digunakan untuk membuat dakwaan itu, katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai akaun Facebook, yang menyiarkan dakwaan itu untuk mencemarkan nama baiknya.
“Saya akan berunding dengan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan dakwaan yang dibuat dalam catatan Facebook itu sebagai cubaan serius untuk mencemarkan nama baik Ketua Menteri.
Beliau berkata dakwaan itu diisi dengan fakta rekaan, sambil menambah semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menunjukkan semua permohonan tanah telah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.
“Malah, tiada hakmilik tanah dikeluarkan kepada empat permohonan tanah yang disebut dalam catatan Facebook tersebut.
Beliau menambah laporan polis akan dibuat terhadap laman Facebook itu supaya siasatan dapat dijalankan bagi membawa ke muka pengadilan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan pembohongan.