Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes membabitkan seorang lelaki yang didakwa membakar rumah milik seorang wanita.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh itu untuk Jafar Yunnus, 48, selepas dimaklumkan pengadu dalam kes itu ingin menarik balik laporan polis.
Berikutan perkembangan baharu itu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu sementara menunggu arahan daripada pihak atasan.
Jafar didakwa melakukan khianat terhadap hartanah milik Zunainah Tasim Daud pada 4.14 petang 26 Nov 2022 di Perumahan Laya-Laya di Tuaran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferah Mad iskim manakala Jafar tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan Jafar direman sementara menunggu tarikh tersebut.