TAWAU: Seorang penganggur yang mencuri 300 biji telur ayam membabitkan 10 papan telur daripada seorang peniaga, dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Rakib Hassan, 39, mengaku salah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun bahawa dia melakukan jenayah itu di kawasan parkir Tapak 100 Tahun, Jalan Dunlop kira-kira jam 9.30 pagi, pada 13 Oktober lalu.
Menurut fakta kes, tertuduh mencuri telur ayam dianggarkan bernilai RM147 itu yang diletakkan di bahagian ruang simpanan barang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebelum melarikan diri.
Tertuduh juga sempat menjual telur berkenaan pada harga RM10 sekotak kepada individu lain yang tidak dikenali sebelum dia ditahan polis pada 11.55 pagi, hari sama ketika datang semula ke tapak parkir tersebut.
Rakib, pemegang dokumen IMM13 dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, ASP Nur Intan Jamrin, tampil mendakwa.