Kota Kinabalu: Tulang belakang Kerajaan Negeri GRS, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan sulungnya pada 13 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Presiden PGRS Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri akan merasmikan Perhimpunan Agung itu yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 ahli.
Pemimpin komponen GRS juga dijangka menghadiri perasmian perhimpunan tersebut.
Pengerusi Penganjur Perhimpunan Agung itu, Datuk Abdul Kassim Razali, berkata kesemua 74 bahagian termasuk dari Labuan akan hadir.
Abdul Kassim, yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, berkata PGRS yang dilancarkan Hajiji pada 2 Mac tahun ini, mempunyai kira-kira 300,000 ahli setakat ini.
“Ini menunjukkan PGRS yang berumur kurang setahun mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Hajiji ketika melancarkan PGRS Mac lalu, berkata rakyat Sabah akhirnya mempunyai parti yang boleh mereka panggil “rumah” dan yang akan mengukuhkan perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (gabungan GRS).
“Akhirnya, kita mempunyai rumah sendiri. Parti ini adalah rumah kita, yang akan kita jaga. Di rumah kita, kita adalah tuan dan akan memelihara sebaik mungkin,” katanya.
Hajiji berkata, perkembangan politik dalam tempoh lima tahun lepas menghasilkan dua trend yang ketara, iaitu rakyat Sabah mahu parti tempatan menerajui Sabah, dan pada masa yang sama inklusif melalui penyertaan berbilang parti dan bukannya satu parti seperti yang berlaku pada masa lalu.
“Kerajaan yang mempunyai unsur ‘semak dan imbang’ yang kukuh lagi inklusif.”
Hajiji berkata kerjasama dengan parti nasional tidak seharusnya ditolak kerana “kita perlu hidup dalam ekosistem persekutuan”.
“Kehadiran parti nasional kekal relevan selagi semangat, teras dan agenda perjuangan negara tidak pernah dikompromi. Sinergi elemen tempatan dan nasional mestilah berlandaskan prinsip meletakkan kepentingan Negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah Didahulukan) dan meletakkan kepentingan Negeri sebagai komponen penting agenda negara,” katanya.