Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap anak perempuannya akan dibicarakan pada 8-9 Mei tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh itu bagi lelaki tersebut yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun itu dengan meraba payudaranya pada jam 2.30 pagi, 15 Ogos tahun ini di sebuah kuarters pekerja di Inanam, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu pelupusan kesnya, lelaki itu diperintah direman lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus manakala peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali mewakili lelaki itu.
Sementara itu, seorang pendatang tanpa izin berusia 38 tahun dipenjara sembilan bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Alfhad Julian mengaku di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada tuduhan memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen yang sah.
Dia ditahan pada 8 Mac tahun ini jam 1.10 pagi di rumah setinggan berhampiran Apartment Cyber City, di sini.
Mahkamah memerintahkan Alfhad menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, dan Alfhad yang sepatutnya dibicarakan tetapi mengubah pengakuan, diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.