Kota Kinabalu: Yan Jia Chi yang baru dinobatkan sebagai juara dunia dan pemenang pingat perak Derora Dane Daniel dan Myra Arina akan mewakili Malaysia untuk beraksi dalam acara Muaythai di Sukan Tempur Dunia di Riyadh, Arab Saudi bermula hari ini (Sabtu) di Arena dan Dewan Sukan Universiti King Saud.
Mereka adalah antara lima atlet dalam pasukan kebangsaan bersama dua lagi atlet dari Semenanjung.
Yan yang akan mengambil bahagian dalam divisyen wai kru wanita adalah pemenang pingat emas dalam Piala Dunia IFMA bawah 23 tahun dan Kejohanan Dunia Senior IFMA tahun ini, manakala Derora dan Myra yang akan bersaing dalam kategori mai muay duo wanita, merupakan naib johan dalam kedua-dua pertandingan.
Persatuan Muaythai Sabah Hj Nazri Abd Razak berharap atlet negeri akan memenangi sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk negara.
“Pada saingan kali ini sukar untuk kami menetapkan sasaran kerana peserta dipilih berdasarkan merit pada Kejohanan Dunia IFMA.
“Kali terakhir Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan tiga hari ini ialah pada 2013 dan hanya seorang yang terpilih ketika itu.
“Saya percaya atlet kita sudah menjalani latihan yang mencukupi sebagai persediaan menghadapi pertandingan ini dan saya berharap mereka akan memberikan yang terbaik untuk kembali dengan pingat emas dan membanggakan negeri dan negara,” katanya.
Sementara itu, tiga atlet itu diiringi jurulatih Mardiana Mohd Maulana berlepas ke Riyadh pada Khamis.
Sukan Tempur Dunia ialah festival pelbagai sukan antarabangsa yang menampilkan 16 pertandingan sukan tempur dan seni mempertahankan diri, demonstrasi sukan dan persidangan pendidikan yang dihoskan oleh pakar seni mempertahankan diri terkemuka.
Acara selama 11 hari itu bermula pada 20 Oktober lalu termasuk aikido, gusti lengan, tinju, lawan pedang, judo, ju-jitsu, karate, kendo, kickboxing, muay thai, sambo, savate, sumo, taekwondo, gusti dan wushu.