PAPAR: Polis di sini menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang didakwa merogol anak saudaranya berusia 12 tahun di tepi jalan berhampiran Kampung Langsat.
Bertindak atas maklumat, Ketua Polis Daerah DSP Kamaruddin Ambo Sakka berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Papar melakukan serbuan di sebuah rumah di sebuah kampung pada jam 2 petang.
Susulan operasi itu, beliau berkata polis menahan individu itu dan merampas beberapa pakaian serta kenderaan suspek.
“Kejadian berlaku apabila suspek mengambil mangsa dari sekolah sebelum merogolnya di dalam keretanya di tepi jalan berhampiran Kampung Langsat. Dia kemudian menghantar kanak-kanak itu pulang ke rumah,” tambahnya.
Kamaruddin berkata, mangsa menceritakan kejadian itu berlaku sekali dan dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.
Beliau berkata, suspek - yang merupakan adik beradik dengan bapa mangsa - ditahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol dan direman tujuh hari bagi memudahkan siasatan.
Difahamkan, ibu mangsa curiga selepas dia enggan dihantar ke sekolah oleh bapa saudaranya sebelum mendedahkan dia dirogol Ogos lalu.
Susulan maklumat itu, ibu mangsa membuat laporan polis di IPD Papar pada Khamis.