RANAU: Sebanyak 303,569 premis di seluruh Sabah telah dirancang untuk diliputi dengan rangkaian gentian optik kata Menteri Komunikasi Dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil di sini pada Ahad.
Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 186,456 premis telah dilengkapi dengan gentian optik sebagai tambahan kepada 197,291 premis sedia ada dengan kerja-kerja pelaksanaan ke atas baki 117,113 premis lagi sedang berjalan.
“Begitu juga dengan kerja-kerja naik taraf stesen pemancar kepada rangkaian 4G, di mana sebanyak 4,281 stesen pemancar telah dirancang, dan daripada jumlah berkenaan, 4,229 telah siap dinaik taraf, sementara hanya 52 lagi stesen masih dalam pelaksanaan,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa, sehingga suku kedua tahun 2023, liputan jalur lebar mudah alih 4G sudah mencapai 90.47 peratus di kawasan berpenduduk dengan purata kelajuan mudah alih telah mencecah 43.76Mbps.
“Dalam masa yang sama, bagi pelaksanaan rangkaian 5G di Sabah pula, setakat 30 September 2023, peratusan liputan 5G di kawasan berpenduduk adalah 48 peratus, manakala sejumlah 401 daripada 622 tapak 5G yang dirancang telah berjaya disiapkan,” kata beliau.
Fahmi menambah bahawa kementerian beliau juga turut menyediakan akses terbuka rangkaian jalur lebar talian tetap menggunakan teknologi gentian optik berhampiran kawasan sekolah dan kawasan industri melalui Projek Point of Presence (PoP).
“Sukacita dimaklumkan bahawa 60 daripada 67 kawasan PoP yang dirancang di Sabah dalam Projek PoP Fasa 1 telah berjaya disiapkan. Pelaksanaan Projek PoP Fasa 2 juga akan bermula melibatkan 636 kawasan PoP.
“Apabila Projek PoP di seluruh negara siap menjelang akhir RMK-12 pada 2025, sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Ini pastinya menyumbang ke arah merapatkan jurang digital antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar,” kata beliau.
Selain itu, katanya, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di negeri Sabah telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan di mana sebanyak 631 menara komunikasi baharu telah dirancang untuk didirikan.
“Sejumlah 186 telah siap, manakala baki 445 lagi menara komunikasi baharu masih dalam pelaksanaan,” katanya.
Pelan Jendela yang merangkumi dua fasa juga telah dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan perkhidmatan internet yang berkualiti untuk manfaat rakyat termasuk bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Ekonomi Digital (Pedi) Kg Lohan Ranau pada Ahad.
Terdahulu pada hari yang sama, beliau sempat memeriksa sendiri kelajuan Starlink di Kampung Langsat, di sini.
“Sebelum ini, langsung tiada talian internet atau telekomunikasi di kawasan ini. Alhamdulillah dengan pemasangan Starlink dua bulan lepas, lebih 500 penduduk di kawasan setempat mendapat manfaat.
“Saya telah memaklumkan kepada penduduk bahawa pemasangan Starlink ini hanyalah langkah interim.
“Sekarang kita sedang dalam fasa penyediaan tapak dan insya-Allah pemasangan internet dan telekomunikasi di kawasan ini dijangka selesai menjelang suku ketiga 2024,” kata beliau.
Tapak Projek PoC Pemasangan Starlink di Kampung Langsat, Ranau, Sabah berkenaan merupakan lokasi kedua pemasangan peranti Starlink di Sabah.
Pemasangan Starlink yang memanfaatkan 500 penduduk ini merupakan Proof of Concept (POC) yang bertujuan menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar Starlink bagi menyelesaikan isu liputan komunikasi yang kurang baik sementara menanti pembinaan menara komunikasi Jendela di Kampung Langsat siap dibina.
Berkenaan penganjuran HBK itu, Fahmi berkata, ia merupakan salah satu inisiatif berterusan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mempromosikan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang amat dekat dengan komuniti setempat.
Ia sebagai usaha membudayakan elemen pendigitalan dan pendidikan khususnya dalam kalangan rakyat selain sebagai platform untuk menyebarkan maklumat mengenai bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh rakan-rakan strategik.
“Aspek kesalinghubungan ialah nadi kepada kehidupan rakyat. Kesalinghubungan yang kukuh dapat membantu memudahkan urusan harian serta meningkatkan taraf sosioekonomi. Ia turut bertindak sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi digital negara,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa usaha ini memperkasa aktiviti masyarakat setempat khususnya di luar bandar untuk membangunkan kemahiran mereka.
“Kemudahan Internet yang disediakan di PEDi seluruh negara juga mampu menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang.
“Inisiatif ini sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan untuk memperkasakan masyarakat menerusi transformasi digital, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang madani – maju dan terampil serta terangkum.
“Justeru, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amatlah penting dalam memastikan aspirasi untuk merapatkan jurang digital dapat dilaksanakan dengan baik,” kata beliau.
Fahmi menambah, KKD menerusi MCMC menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Di Sabah setakat ini, kata beliau, sejumlah 118 PEDi telah dibangunkan, dan kesemuanya telah pun beroperasi dengan jayanya, manakala 14 lagi PEDi baharu akan diwujudkan di negeri ini tidak lama lagi.
“Kepada para penduduk Kg Lohan, khususnya mereka yang tinggal berhampiran PEDi Kg Lohan, ambillah peluang keemasan ini untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan di PEDi.
“Berbekalkan azam yang kuat serta kemahiran yang digilap, diharapkan seluruh masyarakat di kawasan ini mampu meningkatkan sumber pendapatan.
“Singgahlah ke PEDi berdekatan untuk memanfaatkan kemudahan, bawa ahli keluarga bersama-sama untuk memberikan mereka pendedahan dan mempelajari tentang cara-cara untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital dan bagaimana kemudahan tersebut boleh meningkatkan ekonomi keluarga. Pengurus PEDi sedia membantu anda,” kata beliau.
Fahmi turut menegaskan bahawa Kerajaan amat memahami denyut nadi dan keperluan rakyat.
“Oleh itu, Kerajaan Perpaduan akan terus menyokong segala inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan mempromosikan gaya hidup digital seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital negara.
“Kerajaan juga komited dalam memastikan rakyat mendapat capaian internet terbaik, sekali gus membolehkan kita bersaing dalam dunia digital yang kian pesat.
“Semoga segala usaha yang direncanakan oleh Kerajaan Perpaduan dengan sokongan pelbagai pihak terus memberi impak positif dan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat,” jelas beliau.
Turut hadir di majlis itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat tempatan dan penduduk kampung.