Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengelar leher seorang pelajar serta menumbuknya sebelum cuba merogolnya, dipenjara 11 tahun dan dikenakan enam sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Samir Mohd Tabir yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Mohamad Samir yang hanya mempunyai sijil kelahiran, cuba merogol remaja berusia 14 tahun itu dan semasa percubaan itu, dia telah menyebabkan kecederaan ke atas gadis itu pada 6.30 pagi 9 Okt tahun ini di semak berhampiran sebuah sekolah di Kudat.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(a)/511 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Mohamad Samir yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan menggesa mahkamah mengenakan hukuman lebih berat atas sebab mangsa mengalami pelbagai lebam di bahu selain luka di lehernya.
Siti Hajar turut mengemukakan kenyataan impak mangsa dan menyatakan kejadian itu telah menyebabkan trauma kepada mangsa.
Dia berkata berikutan kejadian itu, mangsa takut untuk keluar rumah dan pergi ke sekolah serta berjumpa orang ramai.
Siti Hajar juga memberitahu mahkamah bahawa mangsa juga takut melihat pisau pemotong daging.
Mahkamah mendengar kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang berjalan menuju ke sekolahnya apabila seorang lelaki meragutnya, mencekiknya dan kemudian menariknya ke dalam semak berhampiran.
Lelaki itu, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohamad Samir, kemudian mengugutnya dengan pisau sebelum cuba merogolnya.
Semasa cubaan merogol, Mohamad Samir telah mengelar leher mangsa dan menumbuknya. Dia turut mengoyakkan pakaian mangsa dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.
Mangsa telah menjerit meminta tolong dan orang awam yang berada di kawasan itu kemudian berjaya membantu mangsa dan menahan Mohamad Samir serta-merta sebelum menyerahkannya kepada polis.
Mahkamah memerintahkan Mohamad Samir dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara.