Kota Kinabalu: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) untuk semua jabatan dan agensi di bawah Kementeriannya pada Isnin sempena Minggu Integriti Kementerian (KePKAS) 2023.
Entiti tersebut ialah Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah, Jabatan Muzium Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.
Menteri berkata dokumen OACP yang mengandungi Pelan Strategik lima tahun itu berfungsi sebagai mekanisme dan rujukan yang berkesan untuk menangani isu salah laku dan rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Berucap pada pelancaran Program Minggu Integriti KePKAS 2023 bertemakan “Integriti Pemangkin Masyarakat Sivil” di Wisma Tun Fuad Stephens di sini, Liew berkata: “Kerajaan memandang serius gejala rasuah, dan usaha memperkukuh integriti dalam kalangan penjawat awam dijalankan dan dipantau dari semasa ke semasa.
“Kesungguhan ini dimanifestasikan dalam penyataan wawasan Pelan Antirasuah Nasional (2019-2023) di mana rancangan tersebut merupakan dasar pencegahan rasuah yang mencerminkan harapan tinggi rakyat terhadap sebuah negara bebas rasuah yang mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
“Saya berharap penganjuran program ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pegawai dan kakitangan tentang kepentingan integriti dalam menjalankan tugas seharian.
Menteri menegaskan, integriti dalam perkhidmatan awam bukan sahaja terhad kepada isu rasuah dan pematuhan berkaitan sistem dan prosedur kerja, malah merangkumi semua aspek budaya kerja seperti melaksanakan tugas dengan penuh komitmen, penggunaan masa bekerja secara optimum dan hubungan kerja yang harmoni dalam organisasi berkenaan.
“Sehubungan itu, Kerajaan telah meningkatkan usaha memerangi gejala rasuah dan memastikan perkhidmatan awam dianggotai penjawat awam yang berintegriti sepenuhnya. Mereka mesti berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara berintegriti, dan mengutamakan kepentingan rakyat.”
Mengenai aspek pencegahan, Liew berkata ia adalah satu bentuk kawalan dalaman dan mesti dilaksanakan oleh ketua jabatan dan agensi melalui pemantauan atau langkah lain yang bersesuaian.
Pada ketika ini, beliau menyeru semua warga kerja KePKAS dan jabatan serta agensinya supaya mematuhi semua peraturan yang terpakai, pekeliling perkhidmatan, garis panduan dan prosedur serta piawaian operasi yang ditetapkan bagi mengelak sebarang isu membabitkan integriti mereka sebagai penjawat awam.
Menurut Liew, inisiatif melancarkan OACP bagi enam jabatan dan agensi (di bawah KePKAS) bermula tahun ini melalui Jawatankuasa Pencegahan Rasuah peringkat Kementerian yang diketuai Setiausaha Tetap Kementerian.
Beliau memuji Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah dan semua Ketua Jabatan dan Agensi atas kerjasama dan kerja keras mereka dalam menyediakan OACP badan masing-masing.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS) atas peranan mereka dalam mengkaji semula OACP semua jabatan dan agensi.”
Pada pelancaran itu, penjawat awam KePKAS dan lain-lain melafazkan Ikrar Bebas Rasuah, inisiatif SPRM yang dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara.
Ikrar Bebas Rasuah, Liew berkata, bertujuan untuk menekankan dan meningkatkan komitmen bagi mengelak salah guna kuasa terutama membabitkan rasuah.
“Dengan ini, penjawat awam akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas harian mereka. Terima kasih kepada SPRM kerana membimbing pelaksanaan Ikrar.”
Penolong Pesuruhjaya Hasmani Hassan, yang mewakili Pengarah SPRM Sabah, menyampaikan ceramah bermaklumat mengenai antirasuah dan jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat.
Sempena Minggu Integriti KePKAS 2023, pelbagai program diadakan seperti Hari Bertemu Pelanggan, Amal Komuniti, Pertandingan Model Pejabat Integriti Terbaik, Pertandingan Video Pendek, pameran, kuiz, pertandingan mewarna untuk pelajar sekolah dan aktiviti riadah seperti senamrobik, sukan, permainan tradisional dan gotong-royong.
Hari Bertemu Pelanggan bukan sahaja diadakan di Kota Kinabalu malah turut melibatkan daerah Pitas, Beluran dan Semporna.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, Sr Mohd Yusrie, Timbalan Setiausaha Tetap I Mary Malangking, Timbalan Setiausaha Tetap II Alesia Sion, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Minggu Integriti KePKAS, Murad Abd Rashid, dan Timbalan Ketua BIGONS, Mohd Asril Sharil.