KENINGAU: Polis Keningau pada Jumaat lepas menyelamatkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dan perhambaan seks susulan beberapa serbuan di Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yumpil Anak Gari yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi pada Ahad berkata, dua lagi mangsa adalah wanita berusia 19 dan 30 tahun, sambil menambah tiga suspek lelaki ditahan.
“Salah seorang daripada mereka berusia 44 tahun disyaki menjadi orang tengah dan pengangkut untuk menghantar mangsa kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan seks.
“Dua lagi suspek memainkan peranan dalam mencari pelanggan untuk mangsa melalui aplikasi media sosial,” katanya.
Yumpil berkata, modus operandi suspek adalah mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dengan berpindah dari satu tempat ke tempat lain, dan tinggal di inap desa dan hotel.
Beliau berkata, sejumlah wang tunai RM785, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa kondom dirampas dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah cawangan D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau.
Kesemua suspek direman sehingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.