Kota Kinabalu: Sabah FC bersedia untuk membalas dendam terhadap kekalahan kepada Hai Phong FC dalam saingan kumpulan Piala AFC bulan lepas apabila kedua-dua pasukan bertembung semula malam ini di Stadium Likas.
Mereka tewas kepada pasukan dari Vietnam itu 2-3 dalam perlawanan pertama di tempat lawan dan kedua-duanya kini menghuni dua tempat teratas Kumpulan H dengan masing-masing mengumpul enam mata, manakala di tangga ketiga ialah PSM Makasar dari Indonesia diikuti Hougang United FC dari Singapura.
Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berharap kelebihan bermain di laman sendiri akan memberi kelebihan kepada mereka tetapi pada masa sama memberi amaran kepada pemain supaya tidak mudah berpuas hati.
“Kami mengekalkan intensiti yang sama dalam latihan sejak perlawanan terakhir menentang Hai Phong dan ini pasti akan membantu kami untuk perlawanan timbal balik walaupun tiada perlawanan kompetitif untuk tempoh yang begitu lama.
“Saya harap kami akan dapat menampilkan persembahan yang lebih baik esok kerana ia adalah perlawanan yang sangat penting dalam kumpulan untuk kami mara ke pusingan seterusnya secara automatik.
“Saya juga percaya bermain di tempat sendiri memberi kelebihan kepada kami tetapi kami tidak boleh mengambil mudah,” katanya pada Rabu.
Beliau juga berkata pemain mesti belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan pada perlawanan lepas dan tidak dibolosi awal.
“Berdasarkan rekod kami di Likas, kami cenderung menjaringkan gol awal atau pada separuh masa pertama, tetapi tidak kira sama ada kami mampu mendahului satu atau dua gol atau tidak, yang penting jangan terleka dan melepaskan gol.
“Kami mesti memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol kerana tidak akan ada gol jika kami gagal melakukannya. Saya percaya kami boleh mencapai sasaran jika kami dapat mengekalkan fokus dan mengekalkan disiplin kami sehingga wisel penamat,” katanya.
Tambahnya, beliau perlu mengambil kira kecergasan beberapa pemain termasuk import Miguel Angel Garrido Cifuentes, Gabriel Peres dan Telmo Ferreira serta Darren Lok, Dominic Tan dan Stuart Wilkin yang menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan sebelum menamakan skuad.
Beliau turut menggesa penyokong agar datang menyokong pasukan kerana kehadiran mereka akan memotivasikan pemain dan menaikkan lagi semangat mereka untuk menghadapi perlawanan yang sukar itu.