PEMBUKAAN kilang Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernilai RM3 bilion adalah bukti kejayaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, usaha niaga pelaburan berimpak tinggi itu adalah contoh apa yang boleh dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bersatu dengan visi bersama.
“Ini adalah hasil usaha kolektif kita dalam pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk manfaat Sabah dan rakyatnya,” katanya pada perasmian kilang bertaraf dunia itu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kota Kinabalu, pada 31 Okt. .
Usaha niaga itu mencipta 1,300 pekerjaan dengan 1,100 atau lebih 80 peratus pekerjanya, adalah rakyat Sabah.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri serius untuk memastikan pelaburan di Sabah berjalan lancar.
“Kami mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan petugas pelaburan khusus yang komited untuk memudahkan dan memperkemas proses pelaburan.
Pasukan petugas ini direka bentuk untuk menyediakan sokongan komprehensif, bimbingan dan persekitaran yang kondusif untuk pelabur berkembang maju dan berjaya,” katanya.
Dalam kes usaha niaga Kumpulan Kibing, pasukan petugas mempercepatkan permulaan operasi kilang kepada kurang 24 bulan sejak perjanjian awal ditandatangani pada Januari 2022.
“Ini menonjolkan usaha berdedikasi pasukan petugas, tanpa jemu bekerja secara sinergi dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk mengubah pelaburan ini menjadi realiti di Sabah.
“Saya menekankan komitmen Kerajaan Negeri untuk memudahkan pelaburan ke Sabah. Kami bertekad dalam misi kami untuk mewujudkan persekitaran yang menarik lebih ramai pelabur, seperti usaha niaga ini.
“Pelaburan ini bukan hanya mengenai nombor pada lejar kewangan. Ia adalah mengenai mewujudkan pekerjaan, memupuk inovasi dan meningkatkan kehidupan,” katanya.
Hajiji mengimbas kembali lawatannya ke kilang kaca pertama Kibing di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan dua tahun lalu atas jemputan
daripada Pengerusi Kumpulan Kibing Yu Qi Bing dan Presiden Dato’ Lim Swee Ee di mana Yu memaklumkan kepadanya bahawa Kumpulan Kibing berminat untuk melabur kilang pembuatan kaca solar inovatifnya yang canggih di Sabah.
“Hari ini, projek itu telah menjadi kenyataan.
Terima kasih kepada rakan pelaburan China yang dihormati, Kumpulan Kibing, atas keyakinan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membawa fasa pertama projek yang menelan belanja RM3 bilion ini menjadi kenyataan dengan penubuhan kilang pembuatan kaca solar yang canggih ini di KKIP,” katanya.
“Dengan kapasiti pengeluaran tahunan yang mengagumkan sebanyak 440,000 tan kaca solar, Sabah kini meletakkan dirinya sebagai salah satu pemain terkemuka dalam industri pembuatan kaca solar di Malaysia, dan kami bersedia untuk membuat sumbangan besar kepada sektor tenaga boleh diperbaharui.
Yu, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Dr Huang Shifang, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, antara lain turut hadir.