MENGANGKAT tema budaya dan kontemporari, Borneo Rock Festival 2023 bakal menampilkan 30 band daripada kumpulan rock terkenal negara, band indie sehinggalah kepada artis budaya tempatan hujung tahun ini.
Lima kugiran legenda iaitu Search, Wings, A.C.A.B, Hujan dan Butterfingers akan menjadi tarikan utama festival yang akan dipentaskan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 30 Disember itu.
Vokalis Search, Amy menyifatkan penganjuran Borneo Rock Festival 2023 sebagai inisiatif yang cukup baik daripada anak tempatan dalam menyatukan seni serta budaya.
“Search sangat tertarik dengan konsep Borneo Rock Festival 2023 yang bukan hanya mengangkat muzik rock sebagai ‘jualan utama’ tapi juga memberi peluang kepada band lokal dan komuniti seni serta budaya yang ada.
Wings
“Apa lagi melihat barisan artis seperti Wings, A.C.A.B, Butterfingers dan Hujan, tentu Search berasa terhormat untuk menghiburkan pengunjung terutamanya peminat di Borneo,” kata penyanyi berusia 65 tahun itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Imika_culture Dato’ Abdul Rahim berkata mereka mahu menjadikan Borneo Rock Festival sebagai penanda aras dalam penganjuran festival yang bukan hanya meletakkan hiburan semata-mata tapi juga memberikan ilmu tentang seni dan budaya masyarakat setempat.
“Harapan kami agar Borneo Rock Festival 2023 mencapai matlamat sekali gus boleh diteruskan penganjurannya pada masa akan datang sebagai medium buat generasi masa kini menikmati hiburan berkelas,” katanya.
Tambahnya, sesuai konsep Borneo Rock Festival 2023 mereka membawakan band-band ikonik bagi mewakili generasi muzik penggemar.
“Search dan Wings adalah dua kugiran gergasi yang rasanya ‘berdosa’ untuk tidak dijadikan ‘line up’ utama Borneo Rock Festival.
“Kami juga membawakan Butterfingers dan A.C.A.B khusus buat fanatik mereka di Borneo. Hujan pula sudah punya berlapis generasi peminat dan tentu saja nama mereka juga besar di sini,” katanya lagi.
A.C.A.B
Hujan
Butterfingers
Bersama lima band tersohor ini, Borneo Rock Festival 2023 tidak lengkap tanpa persembahan anak-anak lokal.
Sebanyak 10 kumpulan indie tempatan iaitu Amef, Mahkluk, Silversun, Suka Suki, Markaz79, Beyond My Rage, Dita Darcia, Gutaeters, Measmata dan Melodychain akan menambah kehangatan festival itu.
Juga tidak ketinggalan memeriahkan program sehari itu adalah penyanyi terkenal Sabah Datuk Francis Landong dan kumpulan tari kebudayaan negeri.
Selain itu, pengunjung boleh menikmati pelbagai keseronokan lain termasuk pameran permotoran, menonton wayang pacak, pertandingan memasak serta menghargai kraf tempatan.
Maklumat lanjut layari www.ilassotickets.com.
harianekspres@ymail.com