Kota Kinabalu: Dua pemain tenpin boling negeri berjaya meraih podium pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur 2023 yang berakhir di Megalanes Endah Parade, Sri Petaling pada Sabtu lalu.
Nevern Nethaneel Marcellinus menamatkan saingan di tempat kedua bersama Mohd Hazim Ali Khanafiah dari Kuala Lumpur selepas kedua-duanya menjatuhkan 1837 pin dalam kategori terbuka lelaki.
Kejuaraan seperti yang dijangkakan menjadi milik pemain nombor satu negara Rafiq Ismail yang mendahului dari awal hingga akhir dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 2014.
Sementara itu, Nur Jeehan Iezzaty, yang bersaing dalam kategori terbuka perempuan bawah 25 tahun, dengan 1587 jatuhan pin menduduki tempat ketiga di belakang Nur Hazirah dari Sarawak (1685) dan Nur Nadia Karmila (1619) dari Pulau Pinang.
Mereka menerima hadiah daripada Presiden Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur Tan Sri Mohd Noor Abd Rahim.
Presiden Persatuan Tenpin Boling Sabah, Rozzainnysham Talip mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pemain itu dan menggesa mereka meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Allstar Antarabangsa B25 Storm ke-23 di Sunway Megalanes Pyramid Selangor dari 6-14 Disember dan Kejohanan Pesta Pulau Pinang Antarabangsa ke-49 2023 dari 14-22 Disember.