PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berhasrat menyaman pihak memfitnahnya atas dakwaan menerima sogokan sehingga RM6 juta kerana menyokong kerajaan.
Sambil menafikan beliau dan tiga Ahli Parlimen Bersatu lain berpakat mendukung pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Suhaili berkata, “jangan memandang rendah wibawa Ahli Parlimen” dalam membuat keputusan.
“Saya juga ingin nyatakan di sini, bahawa ada fitnah dilontarkan kepada kami berempat yang kami ini menerima sogokan RM4 juta hingga RM6 juta.
“Saya akan bawa perkara ini ke mahkamah dan akan saman individu-individu yang buat kenyataan fitnah di akhbar baru-baru ini,” katanya menurut Sinar Harian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Selain Suhaili, tiga lagi wakil Bersatu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim, dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik turut mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar, namun masih setia sebagai ahli parti.
Mengulas dakwaan lompong dalam Akta Anti-Lompat, beliau berkata itu bukan digubalnya.
“Itu saya tidak tahu. Saya sendiri tidak membaca Akta Anti-Lompat ini dengan jelas. Apa yang saya tahu, kalau kita keluar parti.
“Saya tidak keluar parti dan bila itu membenarkan saya sokong, bukan salah saya, yang menggubal Akta Anti-Lompat ini bukan saya, bukan kami Ahli-Ahli Parlimen, tetapi kerajaan ketika itu.
“Jadi kalau ditakdirkan ada kelompangan, itu rezeki kamilah,” katanya.