SANDAKAN: Enam warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis, atas pertuduhan menyeleweng 41,000 liter minyak petrol.
Tertuduh berusia 25 hingga 45 tahun itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan tersebut dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan, iaitu berurusan dengan minyak petrol secara borong atau runcit tanpa lesen.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9 malam pada 21 Ogos lalu di atas sebuah kapal yang berlabuh di sebuah jeti di Kampung Cenderamata, Sandakan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya boleh didenda sehingga RM5 juta.
Hakim Zaini Fishir @ Fisal menetapkan 15 Disember untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut membenarkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie mengendalikan pendakwaan, sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Arthur Borine.