MUNGKIN masih ramai yang belum mengenali penyanyi Ezyree Fayyad, namun kelunakan suara pemuda ini khususnya ketika melantunkan lagu nasyid atau berunsurkan ketuhanan menunjukkan potensi besar yang ada pada dirinya.
Ezyree atau nama sebenarnya Mohd Ezyree Jakaria berketurunan Bajau pantai timur ini sudah mula membabitkan dalam lagu berkonsepkan nasyid awal tahun 2021.
“Boleh dikatakan saya masih baharu dalam industri seni yang bermula beberapa tahun lalu, dan kebanyakan lagu yang saya nyanyikan adalah berkonsepkan nasyid atau membawa mesej dakwah”, katanya kepada
Hiburan Ekspres.
Ezyree ditemui selepas terlibat dalam Program Himpunan Solidariti untuk Palestin anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno yang diadakan di dataran Boheyan Plaza di Pekan Kunak, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Ezyree berkata antara lagunya ialah Husnul Khatimah yang diterbitkan oleh S.Nazri Kausar Production pada Januari 2021.
Lagu itu merupakan cetusan lirik Mawar Kausar manakala melodi dicipta oleh komposer gandingan Nazri Saidali dan Suria L.
Dia juga pernah berduet bersama Ika Manda menerusi lagu berjudul Ijab Kabul pada Jun tahun lalu.
Ezyree mengakui industri seni sangat mencabar, tetapi jika karya yang berkualiti dapat diterjemahkan melalui penyampaian yang baik dan berkesan “tentunya sokongan terhadap bidang ini boleh dikembangkan lagi.
Mengenai program Himpunan Solidariti untuk Palestin itu, Ezyree turut berkongsi harapan bersama masyarakat agar keamanan ditegakkan, sementara peperangan membawa kesan yang amat buruk terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Dalam program itu, Fayyad menyanyikan dua buah lagu berkisar mesej kemanusiaan.