TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Monsok Tengah Sabtu lepas ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat di dalam hutan sekitar tiga kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, pagi Ahad
Bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat daerah menerima panggilan daripada Balai Polis Tambunan pada jam 10.45 malam Sabtu lalu mengenai seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di kawasan Hutan Mosung ketika menjalankan aktiviti menjerat.
Lapan anggota Bomba diketuai Komander Operasi, Tonny Sipin bergegas ke lokasi kejadian bersama agensi lain terdiri daripada enam anggota polis, sebelas anggota Rela, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam dan 16 penduduk kampung.
Menurut maklumat awal pengadu yang merupakan abang kepada mangsa, adiknya disedari hilang pada 17 November lalu kira-kira jam 9.00 pagi selepas pengadu masuk ke hutan dan menemui motosikal mangsa.
Usaha mencari mangsa di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dilakukan penduduk kampung namun gagal menemuinya.
Hasil perbincangan bersama Polis, operasi SAR hari pertama Sabtu lalu ditangguhkan pada jam 11.40 malam dan diteruskan pada Ahad.
Mangsa dibawa keluar dari hutan ke PKTK oleh pasukan penyelamat dan diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 12.00 tengahari.