Kota Kinabalu: Seorang anggota polis dibebaskan daripada tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,200, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga melepas dan membebaskan Koperal Margani Arpah, 58, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, daripada pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Margani.
Bagi pertuduhan pertama, Margani didakwa meminta rasuah RM2,000 daripada Anisa Hassan sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anak saudaranya serta rakan yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Margani didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan yang diterima, atau RM10,000, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Margani didakwa menerima RM900 dan RM300, masing-masing daripada orang sama untuk tujuan yang sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di belakang Pondok Polis Warisan Square di sini antara 5 petang dan 6.26 petang pada 22 Ogos 2018.
Pihak pendakwaan telah memanggil 12 saksi semasa perbicaraan.
Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi hadir untuk pendakwaan manakala peguam Luke Ressa Balang mewakili Margani.