Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) akan menganjurkan karnival bola sepak wanita Piala Datin Seri Panglima Datuk Hjh Juliah Salag pada 6-7 Januari tahun depan di padang Sukma Likas.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Safa, Muhd Arziz Afizy Rumsani di pejabat Safa selepas mempengerusikan mesyuarat pada Rabu.
“Kejohanan berprestij dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM17,500 ini akan diadakan sebagai karnival selama dua hari dan ia terbuka kepada semua 16 ahli gabungan Safa.
“Hadiah kemenangan selain piala dan pingat ialah RM8,000 untuk juara, RM5,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM1,500 untuk keempat,” katanya.
Tambahnya, selain mempromosikan bola sepak wanita di negeri ini, mereka berharap kejohanan yang julung kali diadakan itu mampu mencungkil lebih ramai bakat mentah sebagai persediaan menghadapi kejohanan tahun depan.
“Matlamat utama penganjuran kejohanan itu adalah untuk melihat lebih ramai bakat baharu untuk dikembangkan oleh jurulatih kami sebagai pelapis kepada pemain wanita senior kami.
“Ini juga akan membantu kita membuat persiapan awal untuk menghadapi beberapa kejohanan yang akan diadakan tahun depan, termasuk mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Kebangsaan yang dimenangi baru-baru ini dan acara bola sepak wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak,” katanya
Sementara itu, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Eksekutif Safa David Wisom, ketua jurulatih wanita negeri Justin Ganai dan penolongnya Petronella Dounny.