KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berharap rampasan kuasa oleh pemimpin negeri seperti cubaan kudeta awal tahun ini tidak lagi berulang demi kemajuan dan kemakmuran Sabah.
Merujuk kepada cubaan Langkah Kinabalu untuk menggulingkan pentadbirannya pada Januari, Hajiji berkata peristiwa itu sukar dilupakan dan salah satu titik hitam dalam sejarah politik Sabah.
Beliau mengimbau bahawa suasana ketika itu amat genting dan Kerajaan Negeri hampir lumpuh serta hilang kelayakan.
“Rakyat menjadi cemas. Mereka bimbang kalau-kalau akan berlaku lagi pilihan raya negeri.
“Ia adalah situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik,” katanya semasa perhimpunan agung pertama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu , pada 13 Nov.
“Namun, berkat sokongan rakan-rakan yang asalnya parti lawan iaitu Pakatan Harapan Sabah, kerajaan GRS berjaya diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan.
“Terima kasih kepada rakan-rakan PH termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN)/Umno yang terus menyokong Kerajaan GRS, sekali gus menjadikan Kerajaan Negeri hari ini dikenali sebagai Kerajaan GRS-PH Plus,” katanya.
Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata peristiwa Langkah Kinabalu harus dikongsi untuk mengingatkan “sahabat sejati” dalam politik.
“Peristiwa itu membolehkan kita mengenali siapa kawan dan lawan dan, yang lebih penting, mengenali hati sahabat sejati,” katanya.
Hajiji berkata tindakan mahu menggulingkan kerajaan demokrasi yang dipilih oleh rakyat secara sewenang-wenangnya dan sebegitu rupa adalah “sangat memalukan dan tidak beretika.”
Sambil menegaskan kepentingan Gagasan Rakyat diperkukuh sebagai satu-satunya landasan perjuangan, beliau menyifatkan parti itu sebagai “rumah kita” yang perlu dijaga bersama.
“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan ahli parti supaya bekerja keras bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Walaupun kita masih ada dua tahun, siapa tahu kemungkinan pilihan raya akan kita awalkan,” katanya.
Beliau berkata kepimpinan parti di semua peringkat perlu terus diperkukuh dan tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk parti, rakyat dan Negeri.
Hajiji berkata sejak tiga tahun lalu, Kerajaan GRS-PH Plus telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu semua lapisan rakyat di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada.
Beliau mengambil beberapa contoh dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan dan pembelaan nasib golongan wanita.
Hadir sama, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Tan Sri Osu Sukam; serta Pengerusi PH Sabah
Datuk Christina Liew, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup dan Pesuruhjaya PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.