KERAJAAN Negeri akan mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah tahun depan dengan peruntukan RM1.82 juta untuk operasi dan pentadbiran sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 31 peratus pada 2025, daripada 22 peratus tahun ini.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan insentif penanaman padi dengan peruntukan RM18 juta dan memulihkan kawasan sawah terbiar, membangunkan padi tanah kering, menambah jentera membajak dan menuai, membekalkan baja, di samping memberi subsidi beras kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta.
Kajian mengenai varieti padi yang sesuai untuk ditanam di kawasan sawah yang terjejas oleh air masin, terutamanya di Pantai Timur Sabah, juga akan diteruskan dan teknologi penanaman padi tanah kering juga akan diperkenalkan kepada petani, katanya sambil menambah Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan keterjaminan makanan di Sabah terutamanya beras.
Advertisement





