Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 32 tahun pada Khamis dibebaskan oleh Mahkamah TInggi daripada pertuduhan membunuh teman wanitanya, dua tahun lalu.
Hartono Janang dilepaskan dan dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell tanpa memintanya membela diri.
Amelati dalam keputusannya, memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Hartono didakwa membunuh Kamalia Yusopp, 35, antara 12.30 pagi dan 6.55 petang pada 19 Jan 2021 di atas sebuah bukit di belakang sebuah hotel di Bandaran Berjaya di sini.
Dia pada 10 Nov 2021 meminta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil 16 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Amelati dalam keputusannya, antara lain berpendapat bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan, jika tiada sebarang pembuktian motif, pihak pendakwaan gagal membuktikan keperluan Seksyen 302.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli menggantikan DPP Afiq Agoes, manakala Hartono diwakili peguam dilantik Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.