Kota Kinabalu: Seorang petani berusia 31 tahun didakwa merogol teman wanitanya di bawah umur.
Clerance Salimat mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus.
Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu pukul 1.30 tengah hari pada 25 Nov, 2022 di sebuah rumah di Kota Belud.
Perbuatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Jan tahun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskan Clerance dengan ikat jamin RM10,000 deposit RM5,000 beserta dua orang penjamin tempatan.
Clerance juga diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasportnya, jika ada, disimpan oleh mahkamah sehingga pelupusan kesnya.
Dia juga diingatkan supaya tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan terutamanya mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin tampil untuk pendakwaan manakala peguam Chen Wen Jye mewakili Clerance.