Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang didakwa memiliki 87.23 gram ganja, akan dibicarakan pada 22 dan 28 Mac tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh perbicaraan itu bagi Muhamad Sirhan Abdul Rashid, yang kesnya dikemukakan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh itu.
Muhamad Sirhan mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan meminta dibicarakan bagi pertuduhan terhadapnya.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan.
Dia didakwa memiliki dadah itu pada jam 1 tengah hari 26 Jan tahun ini di sebuah unit Api-Api Apartment, di sini.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah akan memanggil kira-kira empat saksi semasa perbicaraan.
Sementara menunggu tarikh itu, mahkamah memerintahkan Muhamad Sirhan direman sehingga kesnya selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala peguam Mohammed Fareez Mohammed Salleh mewakili Muhamad Sirhan.