Kota Kinabalu: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) akan menyertai Festival Puisi Esei Antarabangsa Jakarta 2023 yang diadakan di Taman Ismail Marzuki (TIM) pada 18-20 Disember depan.
Presiden badan itu, Datuk Jasni Matlani berkata, beliau sendiri akan mengetuai rombongan Bahasa yang turut disertai Timbalan Presidennya, Siti Rahmah G Ibrahim, beberapa ahli jawatankuasa dan juga ahli Bahasa ke festival yang julung kali diadakan di Indonesia, negara kelahiran puisi esei pada 2012 lalu.
“Ini satu perkembangan yang menarik, kerana selama ini festival puisi esei Antarabangsa hanya diadakan di kota Kinabalu. Sukar diadakan di Indonesia kerana penentangan pelbagai pihak.
“Tetapi hari ini keadaan sudah berubah, maknanya puisi esei semakin diterima secara meluas, dan kurang berhadapan dengan pelbagai tentangan serta kontroversi. Selalu ada cahaya di hujung lorong,” kata Jasni dalam kenyataan di sini, Isnin.
Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, perkembangan yang berlaku mutakhir ini menunjukkan tanda positif dan baik apabila apa yang anda perjuangkan selama ini mula dilihat dunia.
“Dahulu puisi esei selalu dipandang sebelah mata, dan sukar mengadakan festival berkaitan dengan puisi esei di Indonesia, tetapi kini ia sudah mula diterima. Malah, perkataan puisi esei itu sendiri telah dimasukkan ke dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia dan di Malaysia juga keberadaan puisi esei semakin diterima dengan baik,” kata Jasni.
“Saya sendiri kini mula merangka penulisan tesis di peringkat Masters di salah sebuah universiti, mengenai puisi esei. Ini cukup mengujakan.
“Puisi esei lahir sebagai wadah ilmu, dan kini ada festival puisi esei antarabangsa yang diadakan di Indonesia setiap bulan Disember bagi meraikan puisi esei.
“Manakala di Kota Kinabalu, festival puisi esei antarabangsa sudah mula diadakan pada setiap bulan Jun sejak 2022 lalu,” katanya. Menurut Jasni lagi, Festival Puisi Esei Antarabangsa Jakarta 2023 kali ini turut dianjurkan secara bersama oleh Bahasa.
Program pengisiannya ialah Diskusi tentang Puisi Esei oleh tokoh penulis di peringkat antarabangsa; tayangan filem pendek; acara persembahan puisi esei yang dijangka turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi Ebit G Ade; dan pelancaran buku.
Semua program ini dijangka akan diadakan di Taman Ismail Marzuki, Jakarta.
“Beberapa buah buku puisi esei dari Malaysia juga akan dilancarkan sempena festival ini, antaranya buku puisi esei “Anwar Ibrahim : Fajar Baru”, buku puisi esei “Hujan Batu yang Ditadah dengan doa” oleh Haliza Matali dan buku puisi esei “Mencari Rindu yang hilang” karya Abd Karim Gullam.
“Sebanyak 10 naskhah buku-buku ini akan diberikan kepada tetamu undangan semasa festival itu,” katanya.
Menurut Jasni lagi, beberapa buku puisi esei yang ditulis oleh penyair di seluruh Indonesia akan turut dilancarkan, termasuk sebuah buku maha karya puisi esei yang berjudul “Kesaksian Puisi Esei”.
Buku ini difahamkan mempunyai ketebalan lebih 500 halaman, dan sudah pasti menjadi oleh-oleh yang bermakna kepada semua peserta rasmi Festival Puisi Esei Antarabangsa Jakarta tahun ini.