TAWAU: Masalah bekalan air bersih di Pulau Sebatik semakin meruncing tanpa ada jalan penyelesaian sehingga kini, meskipun sudah banyak cadangan dan kajian dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Datuk Hassan A.Ghani Pg Amir berkata, lebih 6,000 penduduk pulau itu kini berdepan kesulitan apabila bekalan air bersih terputus susulan musim kemarau – dan masalah sama sentiasa berulang setiap kali musim kering.
Katanya, isu tersebut sudah dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah untuk penyelesaian jangka pendek sekiranya berlaku kemarau, namun masih tiada solusi yang diambil.
Menurutnya, pihaknya (Adun) dan Pejabat Parlimen terpaksa mengambil inisiatif menghantar air minuman botol sebanyak 1,000 karton untuk kegunaan penduduk, namun kaedah itu bukanlah jalan penyelesaian dimahukan.
“Kita mahu pihak berwajib mengambil inisiatif penyelesaian jangka masa panjang dan pendek untuk membantu penduduk terjejas.
“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu mengambil tindakan segera bagi membantu mengatasi masalah bekalan air bersih di Pulau Sebatik ini,” katanya lagi.
Hassan berkata, pihaknya sudah mengambil inisiatif membawa perunding untuk membuat kajian bagi mengatasi masalah air bersih di Pulau Sebatik, dan beberapa cadangan juga diberikan.
“Jalan penyelesaian hasil kajian itu adalah mendalamkan lagi kolam takungan air sedia ada supaya boleh menampung sehingga 10 juta liter air dalam satu masa, berbanding empat juta liter ketika ini,”katanya.
Menurutnya, jumlah itu jelas tidak mencukupi untuk kegunaan penduduk di beberapa kampung di Pulau Sebatik, apatah lagi kolam takungan air sedia ada hanya mampu bertahan sehingga tiga bulan sahaja, jika berlaku musim kemarau.
“Masalah kolam takungan air yang kering akibat musim kemarau kerap berlaku dan ketika ini bekalan air bersih di Pulau Sebatik mula tercatu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan untuk mendalamkan kolam takungan air berkenaan sudah dimajukan kepada JANS untuk diambil tindakan segera.
Katanya, beliau juga difahamkan JANS sudah menghantar kertas cadangan berkenaan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan hanya menunggu kelulusan untuk dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau berharap satu tindakan segera dapat diambil pihak berkenaan kerana masalah tersebut sudah cukup lama, apatah lagi air bersih adalah keperluan asas manusia dan paling mendesak bagi penduduk pulau.
Dalam pada itu, Hassan menyatakan pihaknya sudah membuat satu perancangan bekalan air bersih sehingga ke Kg Sungai Pukul dan turut mencadangkan agar kolam takungan air alternatif dibina di Kg Wallace Bay.
Katanya, kesemua pelan cadangan tersebut sudahpun dibentangkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), namun sehingga kini belum ada tindakan diambil.
“Masalah air di Pulau Sebatik juga sudah beberapa kali dibawa dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan,” katanya.