Kota Kinabalu: Sabah FC menewaskan Kedah FC 2-0 di Stadium Likas pada Ahad lalu untuk menamatkan saingan di tangga ketiga dalam kempen Liga Super musim ini.
Sabah FC tahu hanya kemenangan akan membolehkan mereka merampas kedudukan tangga ketiga daripada pasukan pelawat yang berada dua mata di depan dan tidak membuang masa untuk mendahului pada minit ketujuh. Pemain tengah Irfan Fazail berjaya menjaringkan gol pembukaan walaupun dengan kehadiran dua pemain Kedah FC selepas menerima hantaran Ramon Machado.
Dia kemudiannya membantu jaringan pada minit ke-35 apabila sepakan lambungnya melepasi penjaga gol Kedah FC sebelum terkena palang dan Ramon tidak melakukan kesilapan untuk melakukan tandukan susulan.
Kemenangan dan tiga mata itu sudah memadai untuk Sabah FC menduduki tangga ketiga dengan 53 mata manakala Kedah FC terpaksa berpuas hati di tangga keempat dengan 52 mata.
Jurulatih Datuk Ong Kim Swee gembira pasukan di bawah kendaliannya berjaya mengekalkan kedudukan sama yang dicapai musim lalu.
“Untuk menamatkan musim seperti yang kami lakukan musim lalu adalah perkara yang sangat positif. Saya tidak akan mengatakan ia satu pencapaian yang besar, tetapi kami dapat mengekalkan prestasi kami dalam Liga Super terutamanya pada separuh kedua musim ini.
“Hari ini, pemain sekali lagi membuktikan mereka mempunyai mentaliti dan sikap yang betul yang sangat positif serta memiliki semangat yang sangat tinggi.
“Saya harap pemain ini dapat mengekalkan prestasi mereka dalam perlawanan akan datang, terutamanya apabila kami bermain di separuh akhir Piala AFC,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi penghormatan kepada Amri Yahya yang diturunkan pada separuh masa kedua menentang Kedah FC dan beberapa lagi pemain yang bakal meninggalkan Sang Badak.
“Beberapa pemain akan meninggalkan pasukan dan ini adalah sebahagian daripada bola sepak kerana setiap musim akan ada yang masuk dan ada yang keluar.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang akan meninggalkan pasukan, terutamanya Amri Yahya atas sumbangan mereka kepada pasukan sepanjang tempoh mereka di sini,” katanya.
Tambahnya, satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi dengan pengurusan baharu mengenai perancangan untuk musim depan berikutan pengunduran Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Marzuki Nasir yang menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Ahad.