Kota Kinabalu: Sabah Street Fashion Show 2023 (SSFS2023) mengumpulkan 12 pereka tempatan Sabah yang mempamerkan pakaian berkonsepkan ’Ready To Wear Street Fashion’, dengan mengetengahkan penggunaan corak dan motif dari negeri ini.
Pengerusi Penganjur, Vinnie Nursyahirah berkata, pameran fesyen tersebut telah memperagakan 137 pakaian dengan 31 model serta 12 pempamer mengambil bahagian.
“Sejak 2017, bermula impian dan juga hasrat saya untuk menghimpunkan dan menampilkan pereka-pereka tempatan yang berbakat Sabah melalui satu platform.
“Alhamdulillah, Sabah Street Fashion Show 2023 menjadi momen terindah kerana sekali lagi saya dapat merealisasikan hasrat itu bersama 12 pereka tempatan yang sangat berbakat dan mempunyai impian yang sama.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua pereka yang berani menyahut cabaran, walau hanya mempunyai masa yang sangat singkat untuk menyiapkan rekaan masing-masing.
“Atas keinginan berkarya yang tinggi, dedikasi serta aspirasi yang sama kami bersama mampu mengatasi cabaran bagi menjayakan SSFS2023 dengan penuh kesyukuran,” ujar Vinnie.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Antara objektif dan hala tuju SSFS2023 ialah memartabatkan motif dan corak daripada pelbagai etnik di Sabah, merancakkan industri fesyen dan tekstil, mempromosikan Sabah sebagai pusat pelancongan menarik dengan kepelbagaian identiti dan budaya, serta membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi negeri.
Vinnie, yang juga pengasas syarikat pakaian The ARS V Couture berkata, acara tersebut juga memainkan peranan sebagai perusahaan sosial untuk saling membantu dan membangun bersama dalam dunia perniagaan.
“Peluang ini saya manfaatkan untuk membawa semua rakan pemain dalam industri sama untuk mengembangkan bakat melalui platform ini.
“SSFS2023 telah pun berlangsung dengan seribu kenangan indah. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, atas sokongan yang diberikan untuk menjayakan program dan hasrat kami untuk mengubah, mentransformasi landskap dunia fesyen dan peragaan di Sabah,” katanya.
Vinnie juga berharap program tersebut dapat menyuntik semangat semua pereka tempatan untuk terus berkarya dalam seni rekaan fesyen bagi merancakkan lagi industri ini di Sabah.