LAHAD DATU: Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 dan dikenakan penalti khas tiga kali ganda amaun cukai dikenakan berjumlah RM2.6 juta oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan.
Wee Yung Heow, 59, didapati bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Ryan Sagiran Rayner Junior.
Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 dan RM20,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, serta penalti khas tiga kali ganda amaun cukai dikenakan.
Mahkamah turut memerintahkan Wee dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Wee disabitkan kesalahan itu selepas gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2020 dan 2021 tanpa sebab munasabah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pegawai pendakwa LHDN Mohd Arif Hermansah memberitahu mahkamah bahawa pendapatan bercukai tertuduh dalam tempoh dua tahun itu berjumlah RM4.028 juta, yang mana cukai yang boleh dikenakan adalah RM882,000.
Turut hadir Pengarah Operasi LHDN Sabah Md Fahmi Md Said dan pegawai penyiasat LHDN Lahad Datu Abdul Haya Langarai.