BEAUFORT: Polis telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 40 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang wanita warga asing berusia 40an dekat sini, pada Hari Krismas.
Ketua Polis Daerah DSP Ismail Abdullah, yang mengesahkan tangkapan tersebut pada Selasa, berkata empat suspek tersebut akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, mayat wanita dengan beberapa kesan tikaman itu ditemui di kawasan belukar sebuah ladang sawit di Kg Bambangan, Membakut pada 11.30 pagi 25 Dis.
Menurutnya, siasatan awal Polis mendapati yang mangsa dipercayai hilang semasa pergi bekerja di ladang kelapa sawit tersebut.
Ismail berkata, suami mangsa menemui mayat isterinya selepas menjumpai sehelai seluar hitam milik mangsa di ladang kelapa sawit yang sama.
“Anggota keluarga mangsa bersama-sama suaminya mencari mangsa dimana mereka menemui seluar mangsa dan tidak lama kemudian, suaminya menemui mayat mangsa di sebuah belukar berhampiran dengan kesan luka di beberapa bahagian tubuhnya.
“Pemeriksaan badan oleh Unit Forensik IPK Jabatan Siasatan Jenayah Sabah di tempat kejadian mendapati yang tapak tangan kanan mangsa hampir terputus dan ada beberapa kesan luka di sebelah kanan dahi dan leher dipercayai akibat tetakan dengan senjata tajam,” kata Ismail di sini, pada Selasa.
Ismail berkata usaha untuk mengesan suspek lain masih dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik IPK Sabah Jabatan Siasatan Jenayah.