Tuaran: Pasukan bomba berjaya menemukan seorang wanita yang dilaporkan tersesat ketika mengadakan aktiviti pendakian di Bukit Nuluh Lapai, Jalan Gayang di sini, rabu lalu.
Mangsa dikenali Rena Kimo, 38, ditemukan pasukan bomba kira-kira jam 7.30 malam dalam keadaan selama tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 6.41 petang.
Katanya, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan bomba melakukan operasi pencarian mangsa di sepanjang laluan trek dan berjaya menemui mangsa di kawasan hutan berhampiran trek”.
“Mangsa yang juga seorang wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan selepas menjalani pemeriksaan awal oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurut Abdul Qawie berkata, mangsa seterusnya dibawa keluar dengan mengiringi mangsa sehingga ke Pos Kawalan Bomba (PKB) dan diserahkan kepada pihak keluarga.
“Pasukan bomba menasihatkan orang ramai yang ingin beriadah atau mendaki bukit agar tidak melakukan seorang diri dan sentiasa berkumpulan”.
“Pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.10 malam kemudian selepas memastikan tiada bahaya lain,” katanya.