Kota Kinabalu: Sasaran mempelbagaikan kegiatan amal kebajikan serta membantu masyarakat yang memerlukan perhatian antara fokus terbaharu Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Kota Kinabalu.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, perkara ini penting bagi memastikan ahli tidak tercicir mendapat bantuan yang diperlukan, sekali gus berusaha untuk memperkasakan Puspanita di sini.
Katanya, sebelum ini Puspanita KK sangat aktif dalam melakukan aktiviti yang dapat menyantuni masyarakat setempat.
“Saya berharap kali ini mereka dapat melipatgandakan lagi aktiviti dengan merancang program di peringkat awal agar segala pelaksanaan dapat dicapai, sekali gus berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.
“Paling mustahak adalah keutamaan kepada anak-anak ahli yang mungkin memerlukan bantuan, terutama pada musim awal persekolahan serta menjelang peperiksaan utama nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Nota Tugas kepada Pengerusi Baharu Puspanita Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Jumaat.
Dr Sabin menggesa tumpuan diberikan untuk meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli Puspanita sedia ada.
“Saya mahu mereka tingkatkan lagi hubungan ini agar setiap aktiviti yang dirancang mendapat kerjasama baik, terutama dalam kalangan ahli Puspanita, yang mana kebanyakannya merupakan warga DBKK.
“Peluang ini juga dapat digunakan apabila berinteraksi dengan ahli Puspanita daripada jabatan Kerajaan Negeri yang lain,” jelasnya.
Dalam majlis itu, penyerahan nota tugas berlangsung antara Rosnah Datu Tumai kepada Pengerusi Puspanita Kota Kinabalu baharu, Datin Sri Adreen Aderizza Mohamad Soffi.