TAWAU: Seorang pekerja kontrak pembinaan resort dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas kesalahan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak warga Australia berusia sembilan tahun di pulau Mabul, Semporna.
Nielhan Abdullah, 25, yang tidak mempunyai dokumen mengaku bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad, melakukan perbuatan itu di dalam bilik di Villa 7, Borneo Divers Mabul Resort, pukul 7.45 petang, pada 2 Okt, 2022.
Nielhan, bapa kepada tiga anak, pada mulanya diperintahkan membela diri pada Jumaat tetapi memaklumkan mahkamah bahawa dia ingin menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan, Nielhan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Mabul pada jam 3.30 pagi hari sama susulan laporan polis dibuat bapa kanak-kanak itu, 52, selepas diberitahu oleh anak perempuannya tentang kejadian tidak senonoh berkenaan.
Siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa bermain dengan kucing seorang diri sebelum dihampiri Nielhan yang bertanyakan mangsa sama ada mahu melihat kucing putih.
Mangsa bersetuju dan mengikut Nielhan ke sebuah bilik di resort berkenaan dan kemudian berpura-pura mencari kucing apabila sampai di bilik itu.
Nielhan turut bertanyakan jantina mangsa sebelum menyuruhnya berbaring di atas tilam selepas mangsa memberitahu dia seorang perempuan.
Nielhan kemudian mencabul mangsa dan turut memberitahunya agar tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu sebelum keluar dari bilik.
Mangsa memberitahu bapanya tentang kejadian itu.
Mahkamah diberitahu mangsa mengenal pasti Nielhan semasa kawad cam yang dijalankan pada 3 Okt, 2022.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad meminta hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada Nielhan.
Katanya, jenayah yang dilakukan Nielhan itu adalah serius kerana membabitkan kanak-kanak yang masih trauma walaupun mereka sudah pulang ke Australia.
“Hakikatnya, pendakwaan tidak nampak ada unsur keinsafan dalam diri Nielhan kerana tidak menyerah diri, sebaliknya melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya.
Nielhan didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun dan diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menamatkan hukumannya.
Nielhan diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja.