Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
War Cry manifestasi jelas tradisi, budaya Sabah & Sarawak
Published on: Sunday, January 14, 2024
Published on: Sun, Jan 14, 2024
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:
Text:
War Cry manifestasi jelas tradisi, budaya Sabah & Sarawak
KONSEP dan kostum yang dipaparkan dalam muzik video War Cry juga sarat dengan elemen tradisi, warisan dan budaya unik orang asal Borneo Malaysia.
LAGU War Cry menjadi manifestasi jelas semangat Velvet Aduk, Marsha Milan dan Alena Murang dalam mempromosikan tradisi dan budaya orang asal di Sabah dan Sarawak.

Diinspirasikan daripada bunyi-bunyian tradisional, konsep dan kostum yang dipaparkan dalam muzik video War Cry sarat dengan elemen tradisi, warisan dan budaya unik orang asal Borneo Malaysia.

Advertisement
Mempunyai visi yang sama iaitu ingin memelihara tradisi, budaya dan warisan nenek moyang mereka menerusi seni kreatif, Velvet berkata War Cry juga adalah percubaan mereka untuk lari daripada konsep yang mereka pernah ketengahkan sebelum ini. Apa yang menarik perhatian ialah busana berona merah jambu dan keemasan yang disarung oleh ketiga-tiga jelitawan ini dalam video muzik War Cry.

Velvet berkata, busana yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari itu dibuat khas untuk projek terbabit dan ia adalah hasil kreativiti penata gaya dan pereka fesyen kelahiran Sabah dan Sarawak, Saerah Ridzuan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Tambah penyanyi dengan vokal hebat ini, kolaborasi bersama pereka tempatan itu adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk menghargai  kemahiran serta bakat artisan daripada Borneo. 

“Konsep dan stail busana biasanya Marsha akan aturkan dan untuk projek ini, kami menggunakan khidmat Saerah untuk menjayakan penampilan kami.

Advertisement
“Dan seperti mana projek saya dan Marsha sebelum ini, kami memang suka menggabungkan elemen moden kontemporari tradisional dari segi ‘look’ kami,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

Berkongsi trivia mengenai busana dalam video muzik War Cry, Velvet berkata kebanyakan material dan fabrik yang digunakan juga adalah daripada bahan-bahan yang dikitar semula dan terpakai. 

Advertisement
“Anak negeri di Sabah dan Sarawak cukup dekat dengan elemen semula jadi. Atas dasar ini, kami mahu mempromosikan kelestarian menerusi penggunaan material terpakai dan dikitar semula untuk busana kami.

“Selain itu, kami turut menampilkan koleksi daripada dua pereka fesyen yang juga pemenang Malaysia Creativity Fashion Award (MFCA) 2023 iaitu Saerah sendiri dan juga Nasha Prive.

“Kedua-dua mereka menggunakan material dan kaedah lestari dalam menghasilkan koleksi mereka, yang membolehkan mereka memenangi MFCA 2023.

“Sebagai contoh, sarung keemasan dipakai oleh Marsha dihasilkan oleh Nasha menggunakan selimut, songket dan langsir lama yang diinspirasikan daripada ‘Ring Lady’ Bidayuh.

“Korset biru dengan syiling perak yang disarungkan oleh Alena direka khas oleh Saerah yang diperbuat menggunakan benang daripada baju sejuk terpakai yang dicelup dengan ‘dye’ dan ia diinspirasikan oleh gabungan lilimbo, iaitu aksesori lingkaran rotan daripada suku kaum Kadazandusun dan rawai (korset logam yang dipakai kaum Iban),” katanya.

Sementara itu, Saerah berkata konsep penggayaan busana yang ditonjolkan dalam video muzik War Cry menggambarkan Velvet, Marsha dan Alena selaku pahlawan zaman moden yang bangga dengan warisan budaya mereka menerusi fesyen mereka.

“Ini sebagai penghormatan untuk mempamerkan kepada dunia keindahan Borneo dan orang asalnya. Walaupun kita kini dalam dunia serba canggih dan moden, kita tetap bangga dengan identiti budaya kita menerusi cara pemakaian kita.

“Kami ingin menghasilkan kostum dan gaya yang masih menampakkan identiti etnik di Sabah dan Sarawak dengan sentuhan fesyen ‘editorial’, bagi menyampaikan naratif di sebalik koleksi yang ditampilkan termasuk inspirasi dan rujukannya.”

KONSEP penggayaan busana dalam video muzik War Cry menggambarkan Velvet, Marsha dan Alena selaku pahlawan zaman moden yang bangga dengan warisan budaya mereka menerusi fesyen mereka.

Saerah berkata dalam menghasilkan koleksi itu, dia mengambil inspirasi daripada pelbagai suku kaum di Borneo Malaysia bagi mewakili latar belakang budaya Velvet, Marsha dan Alena.

“Kami turut menggunakan aksesori tradisional yang ikonik buat suku kaum di Sabah dan Sarawak seperti himpogot (tali pinggang syiling tradisional), tangkong (aksesori lingkaran cincin), sementing (aksesori syiling tradisional) dan sugu tinggi (cucuk sanggul). 

“Aksesori manik yang digunakan oleh mereka bertiga juga ditempah khas. Ia adalah hasil tangan pembuat kraftangan Sarawak Lipang Lawai dari Raben Beads,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat dua set gaya ditonjolkan dalam video muzik untuk lagu War Cry, yang mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) Irama Perpaduan 2023 daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

“Set busana yang menggunakan rona gold (emas), silver (perak) dan bronze (gangsa) melambangkan keindahan Borneo dan adat keramat suku kaum di Borneo.

“Set merah jambu pula untuk menonjolkan penampilan yang lebih ‘fun’ dan ‘playful’ yang diinspirasikan daripada pakaian tradisional pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak yang bewarna-warni.

“Sebab inilah untuk busana ini kami menggunakan corak dan tekstil seperti linangkit dan batik,” katanya.

Dalam pada itu, Velvet berkata projek War Cry sepatutnya dikeluarkan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, 2023. 

“Projek ini sebenarnya berjalan seperti yang dirancang, namun tarikh untuk memuat naik video muzik dan lagu penuh di mana-mana platform terpaksa ditangguhkan sehingga mendapat kelulusan tarikh penyiaran.

“Perkara tersebut dipersetujui oleh kami sebagai penerima dana untuk projek ini. Namun, kami dibenarkan untuk memuat naik teaser di media sosial atau mana-mana platform untuk tujuan promosi dan dan pemasaran.

“Memang perancangan awal kami untuk lagu dan klip video War Cry dikeluarkan pada Hari Malaysia, tetapi saya tetap lega dan gembira apabila akhirnya dapat berkongsikan projek ini dengan orang ramai,” katanya.

Mengambil masa enam bulan untuk disiapkan sepenuhnya, Velvet berkata dia seronok bekerjasama dengan Marsha dan Alena dalam projek terbabit.

“Saya bertuah apabila semua memainkan peranan masing-masing untuk memastikan projek ini berjalan lancar.

“Dalam projek ini, Marsha merupakan pengarah kreatif untuk video muzik, Alena menguruskan reka bentuk ‘cover photo’, manakala peranan saya pula dari segi lagu.

“Tanpa kerjasama dan kelebihan masing-masing, saya tidak rasa kami dapat merealisasikan projek ini dalam tempoh yang dirancang.

“Saya harap lagu ini dapat diterima oleh semua orang walaupun War Cry tidak mengetengahkan rentak yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu KDM (Kadazandusun Murut).

“Namun, bait-bait lirik dalam lagu ini, saya secara peribadi menulisnya dengan harapan agar orang ramai tahu yang saya bangga menjadi orang Sabah dan sebahagian daripada Borneo, dan saya akan melakukan apa saja untuk melindunginya,” katanya.

Klip video War Cry boleh ditonton di YouTube Velvet Aduk bermula 5 Januari lepas. 

harianekspres@ymail.com
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here