BEAUFORT: Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas terbabas ke dalam parit di sepanjang Jalan Klias Empat dekat Taman Kinamas pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muhammad Hasbullah Nenggok berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.52 petang.
Sepasukan 10 anggota menaiki jentera bomba dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) meninggalkan balai selepas 51 saat.
Ketika di tempat kejadian kira-kira 5 kilometer, mereka mendapati kedua-dua tayar kanan bas itu termasuk ke dalam parit menyebabkan ia senget.
Penumpang yang panik dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sipitang segera dipindahkan.
“Bas itu terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain. Bomba telah membantu mengeluarkan barang-barang mangsa dari ruang kargo.
“Tiada penumpang yang cedera,” kata Hasbullah.