KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah kini dalam transformasi untuk menerima pakai sepenuhnya teknologi hijau dengan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip).
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan Perjanjian Induk (HOA) daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, pada 9 Jan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan dalam produk yang memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui, penambahbaikan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian mampan.
“Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja sejajar dengan matlamat kemampanan global, tetapi juga memasuki pasaran yang berkembang pesat untuk penyelesaian mesra alam,” katanya.
Hajiji mengulangi perkara yang dibangkitkannya pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzhen, China, November lalu, bahawa Sabah telah mengenal pasti beberapa industri utama yang bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar ke atas pelaburan tetapi juga menyumbang kepada masa hadapan yang lebih mampan dan makmur.
“Ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang juga antara pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan negeri,” katanya.
Di bawah HOA tersebut, SEC akan membekalkan 100 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli kepada kilang pembuatan keluli Esteel Sabah dan tambahan 50 mmscfd untuk penjanaan kuasa loji itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Beliau menambah bahawa sumbangan penting SEC kepada projek ini menyerlahkan peranan pentingnya dalam mempromosikan inisiatif mampan dan memupuk pembangunan wilayah.
Projek keluli hijau itu ialah projek tiga fasa yang memilih gas asli sebagai agen pengurangan berbanding kok dan arang batu, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus dan menjadikannya rendah karbon, cekap dan mesra alam.
Esteel Enterprise Sabah, anak syarikat Green Esteel Pte Ltd Singapura, menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) untuk menubuhkan kilang pembuatan di Sogip di Sipitang pada November 2022.
Fasa Satu projek itu, dengan anggaran kos sebanyak USD1.93 bilion, dijangka bermula tahun ini dan siap menjelang 2026.
Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,795 pekerjaan semasa fasa operasinya.
Mewakili SEC pada majlis penyerahan HOA itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Adzmir Abd Rahman, manakala Pengarah Urusan Xu Yihang mewakili Esteel Sabah.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, dan Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Datuk Harun Ismail.
Annuar dalam ucapannya berkata SEC dan Esteel telah memulakan perjalanan untuk mendefinisi semula landskap perindustrian rantau ini.
Beliau berkata projek keluli hijau oleh Esteel Sabah menjanjikan satu revolusi dalam pengeluaran keluli - yang berteraskan kebaikan alam sekitar dan pertumbuhan inovatif.
“Penyertaan SEC dalam projek ini menandakan komitmen kami untuk menyokong amalan mesra alam dan kemajuan teknologi.
“Majlis ini bukan sekadar formaliti semata-mata tetapi komitmen dan janji kepada masyarakat dan alam sekitar kita. Tambahan pula, projek ini bukan sahaja akan meningkatkan status Sabah di persada dunia tetapi mengubah kehidupan ribuan orang dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam kedua-dua fasa pembinaan dan operasi, serta sampingan ekonomi,” katanya.
Annuar berkata apabila SEC menjanjikan 100 mmscfd gas asli untuk Esteel Sabah dan 50 juta mmscfd lagi untuk penjanaan kuasa kepada Esteel Sabah dalam tempoh dua dekad akan datang, SEC melakukan lebih daripada melaksanakan usaha bercita-cita tinggi mereka kerana SEC juga mengilhamkan hasrat untuk pembangunan mampan bagi generasi akan datang.
Phoong ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata penyerahan HOA itu turut menjawab wakil rakyat yang bertanya mengenai status pelaburan Esteel Sabah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), dan sama ada ia masih diteruskan.
Beliau berkata ia (Esteel Sabah) adalah antara pelaburan terbesar yang memasuki Sabah, jadi pastinya terdapat banyak cabaran, termasuk soal bekalan gas yang telah diselesaikan melalui HOA itu.
“Masih terdapat beberapa kriteria lain yang perlu mereka penuhi. Tetapi saya percaya kita akan dapat menyelesaikan isu berbangkit tahun ini,” katanya, memberi jaminan bahawa pelaburan Esteel Sabah akan membuahkan hasil, sekali gus merancakkan usaha pengindustrian negeri.
Beliau berkata pembinaan kilang pembuatan Esteel Sabah dan kemudahan lain seperti jeti juga akan dimulakan tidak lama lagi, memandangkan Esteel telah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Sipitang.