MATUNGGONG: Penduduk di tiga kampung dekat sini, merayu keperihatinan kerajaan negeri dan persekutuan bagi membaiki atau membina baharu jambatan gantung dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Matunggong yang rosak teruk akibat banjir besar pada Januari tahun lalu.
Mewakili penduduk kampung, Joheka Pagayan berkata, jambatan gantung tersebut merupakan laluan utama penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Rugading, Mompilis dan Kopunadan untuk ke Pekan Kecil Matunggong, klinik atau bekerja khususnya, mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Menurut Joheka, apa yang membimbangkan ialah jambatan gantung tersebut juga laluan utama kira-kira 70 murid SK Matunggong.
Joheka berkata, walaupun terdapat laluan lain, iaitu jalan raya sehala sejauh empat hingga tujuh kilometer, namun ibu bapa terpaksa membelanjakan RM70 setiap bulan untuk seorang anak yang bersekolah bagi membayar kereta sewa.
Jambatan gantung dekat SK Matunggong yang rosak sejak setahun lalu.
Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menarik keprihatinan pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu, namun setelah setahun masih menemui jalan buntu.
“Kami yang bergantung dengan jambatan ini amat kesal, kerana suara wakil rakyat dan pejabat daerah kami seakan tidak didengari oleh pucuk pimpinan atau kementerian berkaitan apabila tiada usaha membaiki atau membina baharu jambatan ini sehingga hari ini meskipun telah diusahakan oleh wakil kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk Byebin Patrict, 39, berkata, jika hanya melibatkan kerosakan yang masih mampu dibaiki sendiri oleh penduduk secara bergotong royong, mereka tidak meminta simpati kerajaan.
Katanya, setelah setahun menanti selain terpaksa melalui jambatan rosak bagi menyeberangi sungai yang ada buaya amat membimbangkan khususnya ketika menghantar dan menjemput anak yang bersekolah di SK Matunggong.
“Selama ini kami sabar saja, bukan mahu protes kerajaan atau berpolitik, kami hanya merayu agar keperluan apatah lagi berkaitan isu keselamatan kami sebagai rakyat diberi perhatian kerajaan hari ini.
Keiron Sunglim, 32, yang juga penduduk Kampung Mompilis berkata, mereka tidak mahu ada kejadian buruk atau kemalangan berlaku sebelum aduan mereka ditangani.
Menurut Keiron, anaknya yang bersekolah di SK Matunggong terpaksa melalui jambatan tersebut setiap hari, sambil menambah, keadaan jambatan semakin hari semakin bahaya untuk dilalui kerana enam daripada lapan tiang jambatan itu tidak lagi berfungsi.
Sementara itu, Razali Rajawa, 56, berkata, laluan alternatif juga perlu diberi perhatian kerana sempit dan tidak rata.
Tambahnya, penduduk terpaksa bergotong royong setiap bulan dan membelanjakan duit sendiri untuk menyelenggara laluan itu termasuk memotong dan meracun rumput di tepi jalan.