RANAU: Kira-kira 80 penunggang basikal memulakan kayuhan selama tiga hari sejauh 185km dari Ranau ke Kota Marudu sebelum menamatkannya di Kota Belud esok (Sabtu), sebagai pembuka tirai sambutan Jubli Berlian Taman-Taman Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dijangka melakukan pelepasan Jelajah Basikal Geopark Global Unesco Kinabalu di Kolam Air Panas Poring, di sini, pada Khamis.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada acara menarik ini melibatkan kira-kira 80 penunggang basikal yang akan meneroka kawasan Geopark di Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud.
“Acara anjuran Taman-Taman Sabah, sebagai sebahagian daripada promosi Kinabalu Unesco Global Geopark (KUGGP), juga merupakan acara pelancaran Jubli Berlian Taman-Taman Sabah di Dataran Kota Belud esok, yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Liew berkata, jelajah itu akan membabitkan enam perhentian di sepanjang jalan yang menampilkan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat.
“Peserta akan berehat di dua lokasi berbeza. Pada 18 Jan, mereka akan bermalam di Sub-Stesen Sorinsim, Kota Marudu, iaitu kawasan pemuliharaan di bawah Taman-Taman Sabah.
“Pada malam berikutnya (19 Jan), mereka akan menginap di Paranauan Inn Kg Sangkir, Kota Belud yang merupakan tempat menarik yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.
“Acara ini bukan sahaja menjadi sejarah bagi Taman-Taman Sabah dengan penganugerahan status Geopark Global Unesco, tetapi juga melengkapkan ‘Triple Crown’ Unesco, di samping Tapak Warisan Dunia Kinabalu dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker.
“Selain itu, ia akan menjadi platform utama untuk memperkenalkan tarikan baharu dalam pelancongan pedalaman – pelancongan sukan berbasikal.
“Laluan menarik ini menawarkan pengalaman memukau dengan keindahan alam semula jadi dan latar belakang Gunung Kinabalu, menjadikannya tarikan kepada peminat sukan berbasikal di seluruh dunia.
“Sambil menikmati keindahan, peserta juga akan membawa mesej penting tentang kelestarian alam semula jadi dan keperluan untuk usaha pemuliharaan bagi menjaga keindahan alam semula jadi kita untuk generasi akan datang,” kata Liew selepas upacara pelepasan.
Beliau berkata Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud bukan sahaja kaya dengan tarikan pelancongan semula jadi, tetapi juga mempunyai kekayaan budaya, warisan dan tarikan lain.
“Kita percaya pelancongan berasaskan komuniti di daerah-daerah ini mampu memberi pulangan besar kepada Kerajaan Negeri. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini terutamanya Taman-Taman Sabah.
“Saya harap Jelajah Berbasikal Geopark Global Unesco Kinabalu 2024 akan menjadi acara yang bukan sahaja mengagumkan tetapi juga memberi impak positif kepada pembangunan pelancongan dan kelestarian alam semula jadi di Sabah,” katanya.
Mengenai sambutan itu, katanya, pelbagai program telah diatur antaranya pameran, acara hiburan dan persembahan pentas artis tempatan serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik disediakan penganjur.
Semua rakyat Sabah khususnya di Kota Belud dijemput meraikan majlis tersebut.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai acara tersebut boleh menghubungi Komunikasi Korporat Taman-Taman Sabah di 088-523531/572 atau emel ke corp.communication@sabahparks.org.my
Turut hadir, Pengerusi Taman-Taman Sabah Peter Lintar, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Thonny Chee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabapak Eco Sdn Bhd Remysta Taylor.