Kota Kinabalu: Jalan Magandai di Kota Marudu, yang baru-baru ini ditularkan di media sosial, buat masa ini sedang dalam fasa pembinaan, kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Pada Jumaat, media melaporkan nasib penduduk, khususnya murid-murid dari Kg Tondig, yang terpaksa mengharungi lumpur setinggi paras lutut untuk pergi SK Magandai, yang terletak kira-kira 40km jauhnya, malah terpaksa berehat semalaman di pondok kebun buah-buahan.
“Pihak kontraktor juga memaklumkan bahawa jentera mereka berada di tapak pembinaan meliputi kawasan CH19+000 - CH40+000 di mana kerap berlaku kerosakan, bagi tujuan membuat kerja-kerja penyelenggaraan.
“Namun demikian, berikutan keadaan cuaca dengan hujan berterusan, struktur tanah menjadi lembut dan menyukarkan kerja-kerja pembinaan serta selenggaraan,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Shahelmey berkata, walaupun berdepan cabaran tersebut, pihak kontraktor memaklumkan bahawa jentera mereka sentiasa berada di kawasan untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.