Lebih 1,700 penonton hadir menyaksikan konsert “Ai Xin Nian” Ai FM RTM yang julung kali diadakan di Dewan Persatuan Hakka, Sandakan, pada Sabtu.
Tahun ini, Sandakan dipilih untuk acara tahunan stesen radio nasional Bahasa Mandarin itu.
Ia dirasmikan Datin Florence Chong (Chong Mee Fook) yang mewakili anaknya, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.
Hadir sama, Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Pengerusi Persatuan Hakka Sandakan, Chong Sheu Leong dan jemputan lain.
SEKITAR persembahan pada konsert itu.
Konsert tersebut menampilkan DJ Peiyin, Guojun, JC, Xiaohan, Ziying, Riting dan persembahan penyanyi jemputan seperti Summer Grace dan Guang Dehui serta Daniel Sher yang juga juara “Bintang Ai” 2021 bersama pemain harmonika, Kif dan pemain biola, Jessica.
Setiap tahun, Ai FM yang merupakan salah satu stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengadakan Konsert Tahun Baharu Cina Ai Xin Nian di pelbagai lokasi dan pada kebiasaannya, ia tertumpu kepada kawasan Lembah Klang.
Pada tahun ini, Ai FM, dengan sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Hakka Sandakan, ia membawa konsert tersebut ke Pantai Timur Sabah, di Sandakan.
Lebih daripada 30 warga kerja Ai FM dan artis jemputan bertolak sama ke Sandakan bagi menjayakan konsert tersebut dan semua keperluan sepanjang berada di Sandakan juga disediakan oleh pihak persatuan berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hakka Sandakan, Chong Sheu Leong, berkata, pihaknya berbesar hati atas penganjuran konsert itu di Sandakan pada kali ini.
Sokongan kepada Ai FM itu juga selaras dengan pilihan pendengar disini.
Tambahnya, ia sekaligus diharap memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini di Sandakan.
“Selain itu, jika dilihat, daerah Sandakan juga tidak selalu ada peluang untuk melihat artis dari Semenanjung untuk membuat persembahan dan konsert di sini.” Jelasnya.
“Justeru, kami berbesar hati untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada Ai FM bagi mengadakan konsert tahunan mereka disini, dengan harapan boleh membawa kegembiraan kepada penduduk pelbagai latar di Sandakan tidak kira tua atau muda.” Jelasnya.
Beliau juga berterima kasih kepada Ai FM kerana memilih Sandakan untuk mengadakan acara tahunan Konsert Ai Xin Nian yang begitu memukau penonton pada malam berkenaan.